SEREMBAN, 20 Disember - Penganjuran Negeri Sembilan Festival (NS Fest) 2025 merupakan landasan awal bagi persiapan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 yang menyasarkan kehadiran 25 juta pelancong ke negeri itu, tahun depan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pada edisi sebelum ini, festival itu berjaya menarik lebih 1.1 juta pengunjung dan merekodkan jualan mencecah RM4.3 juta, sekali gus menjadi inspirasi kepada penganjuran NS Fest yang lebih berimpak tinggi pada tahun ini.
Menurut beliau, penganjuran NS Fest juga mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memacu pertumbuhan ekonomi secara konsisten dan berterusan.
"Program ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi platform strategik yang memperkukuh
ekosistem ekonomi masa hadapan melalui pemerkasaan sektor utama negeri, pembangunan industri bernilai tinggi, huluan dan hiliran, serta peluasan ekosistem pelancongan pintar dan mampan," katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian NS Fest di Dataran Nilai di sini.
NS Fest merupakan salah satu acara utama dalam kalendar pelancongan Negeri Sembilan yang menampilkan kepelbagaian sektor ekonomi, keusahawanan dan budaya melalui pameran pelbagai agensi, jualan produk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), serta pelbagai aktiviti menarik.
Festival itu berlangsung selama 12 hari bermula hari ini (Sabtu) hingga 31 Disember di Dataran Nilai dari pukul 10 pagi hingga 11 malam.