fb fb fb fb fb

NRES sedia adakan perbincangan dengan kerajaan negeri tambah fasiliti pengurusan sisa

Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR, 18 Julai- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersedia mengadakan perbincangan dengan mana-mana kerajaan negeri bagi menambah fasiliti utama untuk merawat dan melupuskan buangan terjadual. 

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkara itu adalah usaha untuk memastikan kualiti atau pengurusan sisa berada pada tahap terbaik sekali gus boleh dimanfaatkan oleh pelbagai industri di negeri masing-masing seperti Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

"Sememangnya kerajaan, ada tiga tapak pelupusan sampah sekarang di seluruh negara dan kita tahu bahawa ia tidak cukup untuk menampung industri baharu. Risikonya kita sedia maklum, kalau tapak pelupusan sampah terletak terlalu jauh, maka ada risiko yang akan membuang (buangan terjadual) di tempat tidak sepatutnya.

"Jadi saya bersedia berbincang dengan mana-mana kerajaan negeri seperti Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang dalam hal ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail berkenaan cadangan kementerian itu untuk menambah tapak pelupusan sisa pepejal.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI