
KUALA LUMPUR, 4 Mac – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa bagi menangani aktiviti pemprosesan sisa elektronik (e-sisa) secara haram, termasuk yang mempunyai kaitan dengan pengubahan wang haram.
- Memperkukuh kerjasama dengan PDRM dan NFCC untuk membanteras pemprosesan e-sisa haram berkait pengubahan wang haram.
- Melaksanakan operasi bersepadu seperti Op Hazard melibatkan pelbagai agensi untuk tutup kilang e-sisa haram.
- Mengutamakan pendekatan bersepadu dan pemantauan premis berlesen bagi lindungi kelestarian alam dan keselamatan ekonomi.
Timbalan Menteri, Syed Ibrahim Syed Noh berkata langkah itu melibatkan kerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
“Daripada segi persediaan untuk menyelesaikan kes-kes berimpak tinggi yang mempunyai kaitan dengan pengubahan wang haram, kita menggiatkan usaha membanteras kilang haram yang menjalankan aktiviti pemprosesan e-sisa yang diseludup masuk secara haram melalui operasi bersepadu seperti Op Hazard yang melibatkan pelbagai agensi,” katanya.
Beliau menjawab soalan Senator Rosni Sohar di Dewan Negara hari ini mengenai keberkesanan mekanisme sedia ada dalam menangani peningkatan sisa panel solar dan bateri kenderaan elektrik (EV).
Syed Ibrahim menegaskan, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan aktiviti pemprosesan sisa elektronik tidak menjadi platform kepada jenayah terancang yang boleh menjejaskan kelestarian alam sekitar serta keselamatan ekonomi negara.
Selain pemantauan berkala ke atas premis berlesen, kementerian turut melaksanakan operasi bersepadu bagi membanteras kilang e-sisa haram yang beroperasi tanpa kelulusan pihak berkuasa.