fb fb fb fb fb

NRES masih dalam kajian penggunaan tenaga nuklear

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad

BANGI, 1 Jun - Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) masih di peringkat kajian penggunaan tenaga nuklear bagi proses penjanaan tenaga dalam usaha merealisasikan aspirasi karbon sifar bersih menjelang 2050.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kajian berterusan terhadap sumber nuklear dilakukan sebagai persediaan berdepan dengan keperluan tenaga terkini.

Katanya, perkara itu dikaji secara teliti kerana mengambil kira situasi kerisauan masyarakat soal keselamatan dan pengurusan penyelenggaraan tenaga nuklear.

"Kita melihat peralihan tenaga, kita ada bersedia dengan keperluan sebab nukleurnya ada masalah daripada segi pengurusan sisa dan sebagainya. Tetapi daripada segi pelepasan karbon ia memang tidak ada tetapi kita faham kerisauan masyarakat dan juga pihak badan bukan kerajaan (NGO) tentang hal ini sebab itu perkara ini di dilihat secara berhati-hati," kata Nik Nazmi.

Bagaimanapun pihaknya tidak menolak penggunaan tenaga nuklear merupakan antara altenatif terbaik penggantian sumber tenaga negara.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Sesi Dialog Bersama Belia dan Majlis Pelancaran Program Latihan Kendiri Dalam Talian – Green Technology and Climate Change Essentials di Karnival Pekerjaan Hijau di sini.

Sementara itu, Karnival Pekerjaan Hijau NRES melalui Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), menawarkan 30 program latihan berkaitan pengurusan tenaga dan amalan industri hijau.

Program itu melibatkan 50 rakan kongsi korporat dan agensi kerajaan bertujuan melahirkan tenaga kerja mahir bagi sektor teknologi hijau.

Nik Nazmi berkata, ia merupakan salah satu komitmen NRES dalam menyokong inisiatif pembangunan kemahiran bagi sektor teknologi hijau.

"Kita juga merasakan ini satu usaha untuk mengarus perdanakan isu-isu alam sekitar, isu-isu kelestarian isu-isu perubahan iklim dalam kalangan orang ramai, sebab contohnya masyarakat apabila mereka lihat pekerjaan mereka akan tentulah tertarik tetapi kita merasakan dalam kalangan Gen Z anak-anak muda pada hari ini sememangnya isu kelestarian ini isu yang sangat dekat dengan mereka," katanya.

TETITIA YUSOFF