fb fb fb fb fb

Nota diplomatik bertaraf sulit tersebar, KLN buat laporan polis

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 23 Februari- Kementerian Luar Negeri (KLN) memandang serius dan amat kesal dengan tindakan penyebaran satu salinan nota diplomatik bertarikh 20 September 2023 bertaraf sulit yang diterima oleh Kedutaan Besar Malaysia di Rabat, Maghribi.

Kementerian Luar Negeri menerusi kenyataan berkata pihaknya sentiasa menekankan kepentingan memelihara kerahsiaan komunikasi diplomatik dengan negara-negara sahabat dan rakan-rakan antarabangsa lain.

"Penyebaran dokumen berkenaan merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab. Hasil siasatan dalaman oleh Kementerian ini mendapati bahawa penyebaran bukan berpunca daripada pihak dalaman," kata kenyataan itu.

"Kementerian Luar Negeri telah memberikan penjelasan berhubung perkara ini kepada negara sahabat berkenaan dan menyatakan kekesalan di atas perkembangan ini," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, satu laporan polis telah dibuat oleh KLN bagi membolehkan siasatan dimulakan, dengan kerjasama penuh akan diberikan sepanjang proses siasatan.

"Kementerian Luar Negeri menggesa supaya tindakan penyebaran dokumen berkenaan dihentikan, mengambil kira implikasi negatif kepada keyakinan dan kepercayaan komuniti antarabangsa terhadap imej dan integriti Malaysia," tambah kenyataan itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM