fb fb fb fb fb

Noktah miskin tegar: PM jelajah ke negeri-negeri mulai minggu depan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 5 Mac - Agenda menoktahkan kemiskinan tegar kekal sebagai keutamaan tertinggi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbincangan bersama pimpinan kerajaan negeri dan agensi.

Setiausaha Akhbar Kanannya, Tunku Nashrul Abaidah berkata, perkara itu akan ditekankan Perdana Menteri dalam Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri dan Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama kepimpinan utama kerajaan negeri dan agensi dalam siri jelajah beliau ke negeri-negeri bermula minggu depan.

"Sejak agenda ini diumumkan dalam Belanjawan 2023, beliau telah menggerakkan semua Setiausaha Politik ke negeri-negeri bagi memastikan gerak kerja serta bantuan disalurkan secara tersusun kepada kumpulan miskin tegar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.

Tambah Tunku Nashrul, usaha ini merangkumi peningkatan pendapatan golongan sasar, menyediakan peluang pekerjaan, akses lebih baik kepada pendidikan, kesihatan, dan perumahan, serta memperbaiki taraf hidup serta kesejahteraan isi rumah miskin.

"Alhamdulillah, Perdana Menteri memaklumkan bahawa sehingga 31 Disember tahun lalu, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis berjaya mencapai sifar miskin tegar dan Insya-Allah kejayaan ini akan diperluas ke negeri-negeri lain," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN