fb fb fb fb fb

NIOSH gesa pemain industri perkukuh keselamatan tempat kerja

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 19 Ogos- Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menggesa semua pemain industri untuk mengambil tindakan segera bagi memperkukuhkan keselamatan di tempat kerja.

Pengerusi NIOSH Chong Chieng Jen dalam satu kenyataan berkata, ia berikutan insiden kebakaran di Taman Perindustrian Samalaju pada di Bintulu yang telah mencederakan 10 pekerja.

"Dilaporkan empat mangsa telah dirawat di unit rawatan rapi di Hospital Bintulu, sementara tiga lagi di unit rawatan kebakaran dan tiga lagi di wad pembedahan selepas kebakaran berlaku di sebuah kilang milik asing di Taman Perindustrian Samalaju pada hari Rabu (14 Ogos).

"Insiden ini menunjukkan terdapat keperluan mendesak untuk melaksanakan reformasi keselamatan secara menyeluruh di semua industri, dan NIOSH komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan majikan, pekerja, dan pengawal selia bagi memacu budaya keselamatan di seluruh negara," katanya.

Dalam kenyataan itu NIOSH juga merakamkan ucapan simpati kepada keluarga mangsa terlibat selain memastikan keselamatan dan kesejahteraan pekerja perlu menjadi keutamaan tertinggi dalam setiap industri.

Semua syarikat juga diseru supaya tidak berpuas hati dengan tahap keselamatan masing-masing kerana perlindungan pekerja tidak boleh dianggap remeh, malah ia harus menjadi prinsip asas dalam setiap operasi.

Bagaimanapun NIOSH akan terus memperjuangkan keselamatan di tempat kerja bagi mengelakkan berlakunya tragedi berulang pada masa hadapan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI