NIISe percepat pemeriksaan, elak kesesakan

Sistem NIIse bersama aplikasi MyNIISe bakal digunakan di seluruh pintu masuk negara.

PUTRAJAYA 11 Mac – Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bersama aplikasi MyNIISe bakal digunakan di semua pintu masuk negara secara berperingkat bagi mempercepatkan pemeriksaan imigresen dan mengurangkan kesesakan di sempadan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fasa pertama pasang 304 unit e-gate di tujuh pintu masuk utama melalui inisiatif Quick Win.
  • Fasa kedua: ujian operasi penuh bermula bulan ini hingga 31 Mei 2026 di Senai, Puteri Harbour dan Bukit Bunga.
  • Pelaksanaan penuh dijadualkan 1 September 2026 hingga 18 Oktober 2029; 67 pintu masuk dilaksanakan terlebih dahulu, baki 35 kemudian.
  • Pengguna dinasihatkan memuat turun aplikasi MyNIISe lebih awal sebelum tiba di pintu masuk negara.

Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ainah Mohd Soon berkata, ketika ini pelaksanaan sistem dibuat secara berfasa sebelum diperluaskan ke seluruh pintu masuk negara.

Menurutnya, pelaksanaan fasa pertama melibatkan pemasangan 304 unit e-gate di tujuh pintu masuk utama negara menerusi inisiatif Quick Win yang bermula 18 Oktober tahun lalu hingga 28 Februari lalu.

“Antara lokasi yang terlibat ialah Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor, selain beberapa lapangan terbang utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Lapangan Terbang Kuching,” katanya dalam tembual bersama RTM di Kementerian Dalam Negeri, hari ini.

Pemilihan BSI dan KSAB sebagai lokasi awal pelaksanaan dibuat berdasarkan jumlah pengembara yang sangat tinggi di kedua-dua pintu masuk tersebut.

Menurut Ainah lagi, fasa kedua pula melibatkan ujian operasi penuh sistem NIISe bermula bulan ini hingga 31 Mei 2026 di tiga lokasi mewakili pintu masuk udara, darat dan laut.

Ujian itu dilaksanakan di Lapangan Terbang Senai dan Terminal Puteri Harbour di Johor serta Bukit Bunga di Kelantan bagi memastikan sistem berkenaan berfungsi secara stabil dalam persekitaran operasi yang berbeza.

“Malaysia mempunyai 110 pintu masuk imigresen, dan pelaksanaan penuh sistem NIISe akan dilakukan secara berperingkat bermula 1 September 2026 hingga 18 Oktober 2029.

“Dalam tempoh itu, sebanyak 67 pintu masuk akan dilaksanakan terlebih dahulu, diikuti baki 35 pintu masuk sehingga semua pintu masuk negara menggunakan sistem berkenaan sepenuhnya,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan pengguna supaya memuat turun dan menyediakan aplikasi MyNIISe lebih awal sebelum tiba di pintu masuk negara bagi memastikan proses pemeriksaan berjalan lebih lancar.