fb fb fb fb fb

Niaga hadapan MSM terus mengukuh disokong sentimen positif

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 14 Mac- Kontrak hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives terus mengukuh pada penutupan hari ini selepas stok komoditi memberikan catatan yang lebih rendah selain peningkatan dalam harga minyak kacang soya dan minyak mentah yang terus merangsang sentimen, kata peniaga minyak sawit David Ng .

“Kami melihat sokongan pada paras RM4,100 satu tan dan rintangan pada RM4,350,” kata Ng kepada Bernama.

Ketika ini, penanda aras harga minyak mentah didagangkan pada US$84.62 setong, meningkat 0.7 peratus.

Pada penutupan, kontrak bulan semerta Mac 2024 melonjak RM85 kepada RM4,330 satu tan, April 2024 untung RM88 kepada RM4,337 dan Mei 2024 menokok sebanyak RM100 kepada RM4,295 dan Jun 2024 melonjak RM104 kepada RM4,230.

Kontrak Julai 2024 meningkat RM97 kepada RM4,131 satu tan dan Ogos 2024 naik RM84 kepada RM4,038.

Jumlah dagangan bertambah kepada 117,016 lot berbanding 94,544 yang dicatatkan pada Rabu manakala kepentingan terbuka berkembang kepada 299,190 kontrak daripada 289,409.

Harga MSM fizikal bagi Mac South melonjak sebanyak RM80 kepada RM4,350 satu tan daripada RM4,270 semalam.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE