KUALA LUMPUR, 9 Mac- Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disaran untuk menyalurkan bantuan kepada gelandangan di lokasi yang telah ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, tiga lokasi disediakan adalah Anjung Kembara, Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit.
"Sekarang kita berkolaborasi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kita mohon untuk mereka berdaftar. Setakat ini kita ada 10 NGO yang telah berdaftar dengan kita dan ada juga kita kenal pasti, lebih kurang 16 NGO dan kita minta supaya mereka bila berkolaborasi dengan kita, contohnya bila mereka hendak memberi bantuan makanan dan sebagainya, mereka boleh hantar ke pusat-pusat yang telah kita kenal pasti, seperti di Medan Tuanku ini", katanya.
Dr Zaliha berkata demikian dalam Operasi Bersepadu Menyelamatkan Gelandangan di sekitar ibu negara awal pagi tadi.
203 orang daripada pelbagai agensi terlibat menjalankan operasi di lima 'hotspot' itu bertujuan mendapatkan data demografi gelandangan.
Beliau turut berharap operasi itu dapat dijalankan dengan lebih kerap untuk menyelesaikan isu gelandangan di Kuala Lumpur.