KUALA LUMPUR, 23 Januari- Bantuan kewangan akan terus disalur kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu dalam memperkukuh perpaduan menerusi penganjuran pelbagai program.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, beliau berharap dengan bantuan tersebut pihak berkaitan dapat meneruskan kerjasama bersama kementerian dalam usaha memperluas semangat perpaduan di negara ini.
Beliau berkata, Kementerian Perpaduan mendapat sambutan memberangsangkan daripada pihak NGO dalam penganjuran program perpaduan.
"Pada tahun lalu, 78 program telah diterajui oleh NGO yang bekerjasama dengan kementerian kita, membabitkan jumlah lebih 620,000 penyertaan," katanya.
Tambah beliau, pada tahun ini pihaknya memberi fokus terhadap penganjuran program berteraskan elemen harmoni dalam kepelbagaian dan pembinaan negara bangsa bagi memperkasa hubungan antara pelbagai kelompok masyarakat sekaligus membina identiti nasional.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Portal Bantuan Kewangan Program Perpaduan (BKPP) di ibu negara.
Beliau berharap portal tersebut mampu menjadi platform mesra pengguna bagi NGO untuk mendapatkan bantuan kewangan serta mempercepat pelaksanaan program perpaduan yang dicadangkan.