NGO Anak Muda MADANI Kedah sedia ambulans air, darat percuma

FOTO RTM

ALOR SETAR, 18 Februari – Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Anak Muda MADANI Kedah menyediakan perkhidmatan ambulans air dan darat secara percuma bagi kegunaan orang ramai, khususnya golongan kurang berkemampuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • NGO sediakan ambulans air untuk bawa pesakit kronik dan urus penghantaran jenazah antara Pulau Langkawi dan tanah besar.
  • Dua ambulans darat ditempatkan di Padang Terap dan Pendang untuk keperluan penduduk setempat.
  • Rancangan memperluas perkhidmatan ambulans darat percuma ke setiap kawasan Parlimen negeri.

Inisiatif itu dilaksana terutama menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Pengerusinya, Datuk Zuraidi Rahim berkata, perkhidmatan ambulans air disediakan bagi membawa pesakit kronik serta menguruskan penghantaran jenazah dari Pulau Langkawi ke tanah besar dan sebaliknya.

Menurut beliau, dua ambulans darat turut ditempatkan di daerah Padang Terap dan Pendang bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

“Ini antara elemen terbaik dalam konteks kepentingan masyarakat. Kita sentiasa mengambil nasihat dan pandangan supaya bekerja demi kepentingan rakyat.

“Sebab itu kita serius dan bersungguh-sungguh meletakkan soal kesihatan dan pengurusan kematian sebagai keutamaan, demi memberi manfaat kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau menambah, susulan sambutan yang amat menggalakkan, pihaknya merancang memperluaskan perkhidmatan ambulans darat percuma ke setiap kawasan Parlimen di negeri itu.

Sejak dilancarkan pada September tahun lalu, lebih 1,600 penduduk telah memanfaatkan perkhidmatan ambulans air dan darat yang disediakan.