fb fb fb fb fb

NETR sasar 70 peratus kapasiti penjanaan elektrik daripada sumber TBB

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menetapkan sasaran 70 peratus kapasiti penjanaan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2050.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, NETR terus dipacu pemain industri dengan sokongan Dana Peralihan Tenaga Negara RM150 juta.

"Projek penjanaan solar berskala besar dilaksanakan dengan kapasiti hampir dua gigawatt bawah program LSS 6 melibatkan anggaran pelaburan swasta RM6 bilion.

"Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sedang menggerakkan pelaburan bernilai RM16.5 bilion untuk tahun 2026.

"Umpamanya, UEM Lestra membangunkan ladang solar di Segamat, Melaka dan Selangor serta bekerjasama dengan PLUS memperluas kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) bawah Tekad 5: Memperkukuh Ketahanan Negara di Dewan Rakyat.

Sumber TBB daripada biogas, biojisim dan janakuasa hidro kecil akan ditingkatkan melalui kuota tambahan sebanyak 300 megawatt bawah program Feed-In Tariff dengan jangkaan operasi seawal 2028.

Selain itu, Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) dijangka menjana pelaburan sebanyak RM3.5 bilion melalui pendaftaran syarikat yang akan menjana tenaga 500 megawatt.

Setakat ini, pemasangan solar fotovolta di bangunan Parlimen Malaysia, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Wisma Pertahanan dan kem-kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghasilkan kapasiti terkumpul hampir 7.8 megawatt dan menjimatkan bil elektrik sehingga 42 peratus; dan Parlimen Malaysia jimat 22 peratus.

"Solar Accelerated Transition Action Programme (Solar ATAP) membolehkan pengguna menjana tenaga untuk kegunaan sendiri serta menjual lebihan tenaga kepada syarikat utiliti sebagai offset dalam bil elektrik.

"Ini membuka peluang pengguna untuk menyumbang kepada peningkatan penjanaan TBB menerusi pemasangan solar berkapasiti sehingga 500 megawatt," katanya.

Perdana menteri turut memaklumkan bahawa Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) 5.0 dibuka sehingga 31 Disember 2026 dengan insentif jaminan Kerajaan sehingga 80 peratus bagi teknologi hijau sektor sisa dan jaminan sehingga 60 peratus bagi sektor lain seperti tenaga, air, pengangkutan dan pembuatan dengan nilai pembiayaan berjumlah RM1 bilion.

Dalam pada itu, Cukai Karbon akan diperkenalkan bermula tahun hadapan dengan tumpuan awal kepada sektor besi, keluli dan tenaga.

"Bagi memastikan kecekapan pelaksanaan Cukai Karbon, mekanismenya akan turut diselaras dengan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan dan RUU Perubahan Iklim Negara yang bakal digubal," katanya.

Bagaimanapun pemberian rebat diteruskan bagi pembelian kelengkapan jenis cekap tenaga kepada pengguna dan peniaga dengan peruntukan RM20 juta bagi menyokong gaya hidup lestari.

"Kerajaan bercadang supaya pelepasan cukai pendapatan individu sebanyak RM2,500 diperluas untuk merangkumi pembelian mesin rincih sisa makanan bagi menggalakkan gaya hidup lestari," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI