PUTRAJAYA, 10 Februari – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menegaskan Israel dan pentadbiran Perdana Menteri Benjamin Netanyahu harus bertanggungjawab terhadap kemusnahan besar di Gaza.
Ini termasuk kerugian ekonomi yang dianggarkan mencecah USD 100 bilion (kira-kira RM470 bilion) akibat serangan berterusan ke atas wilayah itu dalam tempoh 15 bulan.
Beliau berkata, dunia tidak boleh membiarkan Israel terus bertindak seolah-olah tiada apa yang berlaku selepas membunuh lebih 61,000 rakyat Palestin, mengebom bangunan sekolah, masjid, gereja serta menghancurkan hampir 80 peratus infrastruktur di Gaza.
"Israel dan kerajaan Netanyahu bertanggungjawab sepenuhnya atas kemusnahan ini. Israel harus membayar sendiri kos pemulihan Gaza.
"Jika ini tidak ditegakkan, pelaku kezaliman akan menjadi semakin berani untuk mengulangi kekejaman mereka," katanya dalam ucapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Erdogan menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa harus memastikan setiap kerosakan yang dilakukan Israel diganti bukan sekadar membiarkan Gaza terus bergantung kepada bantuan luar.
"Selepas menyebabkan kehancuran dan penderitaan yang dahsyat ini, Israel tidak boleh dibiarkan terus bergerak seperti tiada apa yang berlaku.
"Netanyahu seharusnya mencari dana untuk membayar ganti rugi kepada Gaza, bukan mencari cara untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka," katanya.
Baru-baru ini Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyatakan hasratnya untuk mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan keluar ke negara lain.
Malah Trump dilaporkan menyatakan komitmennya untuk membeli dan memiliki Gaza.
Selain itu, Erdogan turut mengulangi komitmen Turkiye dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin, termasuk usaha membangunkan semula Gaza dalam jangka masa pendek.
"Kami pernah mengalami tragedi besar akibat gempa bumi 6 Februari 2023 yang mengorbankan lebih 53,000 nyawa dan memusnahkan lebih 311,000 bangunan.
"Namun, dalam tempoh kurang dua tahun, kami telah membina kembali lebih 200,000 rumah dan menjelang akhir tahun ini, kami akan menyiapkan 453,000 rumah dan tempat kerja.
"Kami mampu mencapai kejayaan yang sama di Gaza, tetapi ia harus bermula dengan Israel membayar pampasan yang sewajarnya kepada rakyat Palestin," katanya.
Erdogan kini berada di Malaysia untuk lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.