fb fb fb fb fb

Negeri Sembilan sasar lebih banyak koperasi berada dalam kumpulan terbaik

Shahrizan Rosli

SEREMBAN, 3 Mei- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sembilan menyasarkan lebih banyak koperasi di negeri itu tersenarai dalam 100 koperasi terbaik di peringkat nasional.

Pengarah SKM Negeri Sembilan Shahrizan Rosli berkata, beliau melihat banyak koperasi berpotensi untuk layak berada di kedudukan berkenaan berdasarkan perolehan koperasi yang melebihi RM20 juta.

Bagi tahun ini, Koperasi Felda Kerangai Penagoh mencatat kedudukan dalam senarai berkenaan.

"Penilaian kita juga melihat kepada faktor kewangan dan bukan kewangan yang mana kita bagi kepada negeri. Jadi kita lihat pertama sekali dari segi perolehan dan pematuhan contohnya pelaksanaan yang kita memang pantau dari segi pengauditan penyata kewangan koperasi

"Yang kedua dari segi pelaksanaan mesyuarat agong tahunan," katanya kepada pemberita pada program Peningkatan Imej SKM bersama-sama jabatan kerajaan dan media di sini.

Sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 780 koperasi berdaftar di Negeri Sembilan dengan jumlah keanggotaan hampir 200,000 orang.

Jumlah syer terkumpul berjumlah RM123 juta dengan aset sebanyak RM400 juta dan mencatat peroleh keseluruhan berjumlah RM190.3 juta.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI