SEREMBAN, 12 Januari- Garis Panduan Perancangan (GPP) tapak perkhemahan Negeri Sembilan akan dikuatkuasakan bermula Januari tahun hadapan.
Menurut Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar, GPP itu merangkumi perancangan tapak perkhemahan, mekanisme pemajuan dan kawal selia serta pengurusan operasi tapak perkhemahan.
Panduan berkenaan akan dikuatkuasa kepada pengoperasian tapak perkhemahan baharu dan sedia ada.
"GPP tapak perkhemahan ini di Negeri Sembilan adalah untuk memastikan setiap tapak perkhemahan beroperasi dengan selamat supaya tidak ada apa-apa insiden yang boleh membahayakan pengunjung itu berlaku seperti mana yang berlaku di Batang Kali tahun lepas dan juga di negeri ini juga ada beberapa insiden sama telah berlaku", katanya demikian kepada pemberita dalam sidang media di sini.
GPP itu menggariskan beberapa elemen penting iaitu kesesuaian lokasi dan tapak, zon guna tanah yang dibenarkan, peletakan plot khemah, penyediaan kemudahan asas dan penyediaan utiliti.