fb fb fb fb fb

Negeri Sembilan komited pelihara sumber alam semula jadi

Foto hiasan

REMBAU, 8 Mac- Kerajaan Negeri Sembilan komited dalam memulihara dan memelihara sumber alam semula jadi dengan menggalakkan penggunaan teknologi hijau menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti hasil biojisim di kawasan perindustrian.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerjasama rapat antara sektor awam dan swasta penting dalam pembangunan ekonomi rendah karbon seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) dan Dasar Tenaga Negara.

"Kita semua maklum bahawa kawasan perindustrian sememangnya akan berhadapan dengan isu pelepasan gas karbon yang tinggi kerana penggunaan bahan api.

"Jika lebih banyak industri bertukar kepada penggunaan teknologi tenaga hijau seperti dilakukan pihak Nestle, maka kewujudan kawasan-kawasan industri selepas ini tidak akan menjadi beban kepada alam sekitar pada masa akan datang," katanya dalam Majlis Pelancaran Loji Janakuasa Biojisim Chembong di Kilang Nestle Malaysia di sini.

Sebelum ini kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.15 juta bagi memulihara dan memelihara sumber alam semula jadi ketika pembentangan Belanjawan 2024.

Loji Janakuasa Teknologi Biojisim tersebut dibina bagi mengurangkan emisi gas rumah hijau sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030 selain penulenan kira-kira 14,000 tan ekuivalen karbon dioksida (CO2e) yang dilepaskan oleh kilang perindustrian dalam setahun.

Pada masa sama tandan buah sawit kosong (EFB) serta tempurung isirung sawit turut digunakan untuk menggantikan bahan api fosil ketika proses pemanasan dalam operasi pengeluaran.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI