fb fb fb fb fb

Negeri bahagia: Negeri Sembilan, Melaka, Perlis catat skor tinggi

(Tiga negeri tersenarai negeri bahagia)

KUALA LUMPUR, 2 April- Tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis tersenarai sebagai negeri 'bahagia' oleh Jabatan Perancangan dan Desa (PLANMalaysia) apabila semua daerahnya mendapat skor melebihi 80 peratus dalam Indeks Kebahagiaan 2021 bagi bandar di Malaysia.

PLANMalaysia menyenaraikan 80 daripada 114 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Semenanjung dan Sabah, mencapai skor melebihi 80 peratus (bahagia).

Ia mengambil kira aspek yang berkaitan dengan tahap dan kualiti perkhidmatan PBT seperti penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan pepejal dan kutipan sampah.

Di Negeri Sembilan, Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik, berkata tujuh daerah yang mempunyai 1.2 juta penduduk mencatat skor penuh.

"Tampin dinobatkan antara 10 Bandar Paling Bahagia Malaysia dengan pencapaian skor tertinggi 99.5 peratus, diikuti Jelebu (97.85 peratus), Jempol (89.07 peratus), Kuala Pilah (88.39 peratus), Port Dickson (85.76 peratus), Seremban (83.60 peratus) dan Rembau (81.91 peratus)," katanya.

Beliau berkata, pembangunan setiap bandar di negeri itu berdasarkan kekuatan dan keupayaan masing-masing, berpaksikan tiga teras pembangunan menerusi Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045.

"Tiga teras itu adalah daerah Seremban dan Port Dickson sebagai pembangunan 'Malaysia Vision Valley 2.0', iaitu bandar metropolis yang berdaya saing inklusif dan bersih. Kuala Pilah, Tampin, Rembau dan Jempol, sebagai pembangunan agropolis menerapkan elemen pertanian. Jelebu sebagai pembangunan biodiversiti menerapkan pemeliharaan sumber semula jadi," katanya.

(Melaka antara tiga negeri selain Perlis dan Negeri Sembilan  tersenarai sebagai negeri 'bahagia'
oleh Jabatan Perancangan dan Desa (PLANMalaysia)


Memetik la[poran Bernama, katanya terdapat enam indikator utama, dinilai di bawah dimensi komuniti sejahtera berkaitan prasarana bagi mencapai indeks Bandar Bahagia.

Ia membabitkan peratusan liputan kediaman dalam lingkungan 400 meter dari kemudahan masyarakat, kadar liputan jalur lebar, pengurangan gangguan bekalan elektrik, pengurangan kes gangguan bekalan air, bilangan terminal dan stesen pengangkutan awam serta peratusan kediaman mendapat perkhidmatan pembetungan.

Beliau berkata, kelebihan negeri itu dapat dilihat melalui penetapan peranan dan fungsi setiap bandar seperti Seremban yang berperanan pusat pentadbiran negeri, Port Dickson sebagai bandar pelancongan dan Kuala Pilah adalah pusat warisan dan kebudayaan.

Katanya, sejajar matlamat menuju negeri sejahtera, inklusif dan mampan menjelang 2045, kerajaan negeri juga akan terus memberi penekanan dan penambahbaikan aspek kesihatan bagi memastikan akses terhadap penjagaan kesihatan.

Selain itu, menangani kemiskinan secara menyeluruh, mempertingkatkan bekalan rumah mampu milik berkualiti, mempergiat aktiviti ekonomi dan menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat.

Sementara itu, di Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang mencapai skor 91.97 peratus, mengatur pelbagai strategi di samping mempertingkatkan kualiti penyampaian dan perkhidmatan kepada masyarakat bagi memastikan negeri itu terus mencapai status bahagia.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu, berkata ia merangkumi perkhidmatan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, antaranya menyediakan infrastruktur, mengambil tindakan segera sekiranya berlaku masalah atau aduan di samping melaksanakan pengindahan kawasan sekitar.

"Antara perkara dilakukan adalah seperti pemasangan lampu di kawasan gelap, membaiki kerosakan jalan, pembersihan, penyelenggaraan sistem perparitan dan sebagainya bagi memastikan keselamatan, keselesaaan dan kesejahteraan penduduk.

"Kita juga memperkenalkan pelbagai inisiatif, antaranya membangunkan sistem SPiKTRA-M bagi tujuan penyuraian trafik dan kelancaran lalu lintas dengan menggunakan algoritma kecerdasan buatan (AI) yang berupaya menghasilkan Sistem Lampu Hijau Bersepadu, dengan penjimatan masa sehingga 300 peratus," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Zainal berkata, langkah itu juga sebagai permulaan ke arah menjadikan Bandaraya Melaka sebagai bandar pintar dan perkhidmatan yang diberikan MBMB itu secara tidak langsung memudah dan melancarkan urusan seharian penduduk di negeri itu.

Dalam indeks terbabit, selain MBMB, tiga PBT lagi turut mencatatkan skor tertinggi, iaitu Majlis Perbandaran Alor Gajah(98.17 peratus), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (89.40 peratus) dan Majlis Perbandaran Jasin (85.48 peratus).

Di Perlis, EXCO Pembangunan Pusat Pertumbuhan Baharu, Asmaiza Ahmad menyifatkan kemudahan dan prasarana di negeri itu dengan penduduk lebih 254,700 orang itu adalah setara dengan negeri lain.

"Selain itu, cadangan projek 'Perlis Inland Port' (PIP) turut memberi nafas baharu kepada Perlis dalam menyokong pembangunan lain di sekitarnya," katanya sambil memberitahu Perlis di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mencatatkan skor status Indeks Kebahagiaan 80.02 peratus.

Media Baharu