fb fb fb fb fb

Negara perlu reformasi dasar sokong masyarakat menua

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 17 Jun - Dasar awam perlu mengiktiraf umur panjang sebagai satu bentuk transformasi struktur yang menuntut pelaksanaan reformasi proaktif dalam sistem penjagaan kesihatan, perlindungan sosial dan perancangan ekonomi.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu jangka hayat tidak boleh dilihat sebagai trend demografi semat-mata, sebaliknya perlu ada anjakan paradigma dalam dasar awam dalam menguruskan perkara tersebut.

"Malaysia sebagai peneraju yang proaktif, perlu melabur dalam sistem kesihatan, penjagaan sosial, perumahan, instrumen kewangan dan industri yang menyokong masyarakat menua.

Ini merupakan satu isyarat yang menyedarkan kita agar memberikan penekanan yang lebih terhadap pelaburan dalam aspek kesihatan, khususnya penjagaan pencegahan, pendidikan kesihatan awam dan sistem sokongan berasaskan komuniti," ujar beliau ketika berucap merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025 di ibu negara, hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar serta Pengerusi  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Tambahnya, negara perlu beralih daripada sistem yang memfokuskan rawatan penyakit kepada sistem yang mengutamakan kesejahteraan sepanjang hayat.

Dalam pada itu menurut Perdana Menteri, ekonomi umur panjang global diunjurkan melebihi US$65 trilion (kira-kira RM275.8 trilion) menjelang 2030.

Persidangan anjuran KWSP itu bertemakan “Living to a Hundred: Are We Prepared?”, memberi fokus kepada isu berkaitan pembaharuan persaraan, sokongan antara generasi dan hala tuju bagi menyokong jangka hayat lebih panjang serta masa depan inklusif dan berdaya tahan

Persidangan dua hari yang bermula hari ini, menghimpunkan lebih daripada 850 delegasi secara fizikal serta 730 secara atas talian, turut dijayakan bersama lebih 20 rakan kongsi daripada pelbagai industri, melibatkan 25 penceramah terkemuka dari seluruh dunia.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM