fb fb fb fb fb

NCER disasar catat RM367.9 bilion pelaburan

Datuk Seri Anwar mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ke-31

KUALA LUMPUR, 27 Mac- Kerajaan menyasarkan sebanyak RM367.8 bilion pelaburan direalisasi menjelang tahun 2030 melalui Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata tiga bidang tumpuan baharu tersebut ialah Perkhidmatan Termaju, Pembuatan Bernilai Tinggi dan Pertanian Moden.

"Dua pemacu perubahan yang akan menyokong perancangan tersebut adalah amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan pelaksanaan penggunaan digital," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Ke-31 yang dipengerusikannya telah meneliti beberapa perkara utama berkaitan dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2024-2030.

"Bagi tempoh 2021 hingga 2022, NCER telah menyumbang 34 peratus (RM197 bilion) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan," katanya.

Pada masa sama mesyuarat juga membincangkan inisiatif 'Facilitation@NCER' dalam usaha memacu dan merealisasikan pelaburan di wilayah koridor berkenaan.

"Ini melibatkan koordinasi dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tujuan kemudahan akses maklumat, pengurusan perhubungan pelaburan, penyesuaian perkhidmatan dan guna pakai platform pengurusan digital On-Track," katanya.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dan Menteri Besar yang berkenaan sebagai Ahli Majlis NCIA.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI