GEORGE TOWN, 2 November- Seramai 49 pelajar daripada dua sekolah di Pulau Pinang mengalami keracunan makanan.
Exco Kesihatan, Belia dan Sukan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen berkata ia melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Convent Datuk Keramat dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Convent Datuk Keramat.
"Kejadian dipercayai berpunca daripada nasi lemak di kantin sekolah terbabit.
"Jabatan Kesihatan Pulau Pinang melalui Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut, menerima dua notifikasi kes keracunan makanan daripada hospital swasta di negeri itu.
"Siasatan mendapati pelajar kedua-dua sekolah berkenaan menggunakan kantin yang sama.
"Daripada 903 pelajar, hanya 49 yang mengalami gejala keracunan terbabit," katanya kepada pemberita di sini.
Tambahnya, sebanyak 14 kes telah mendapatkan rawatan di klinik swasta dan hanya dirawat sebagai pesakit luar.
Manakala baki 32 lagi bergejala ringan tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan.
Setakat ini, kesemua kes telah sembuh dan dalam keadaan sihat.