fb fb fb fb fb

Naik taraf Muzium Negeri P. Pinang dijangka siap sepenuhnya sebelum Hari Muzium Antarabangsa

Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN, 29 April- Kerja-kerja naik taraf bangunan dan bahan pameran Muzium Negeri Pulau Pinang yang terletak di Lebuh Farquhar dijangka siap sepenuhnya sebelum Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan ke-28 yang dijadualkan pada 13 hingga 23 Mei depan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, mengikut Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang kerja-kerja naik taraf bangunan tersebut di bahagian luar telah siap sepenuhnya dan hanya tinggal di bahagian dalam bangunan.

"Mengenai kerja-kerja untuk pembaikan dan naik taraf muzium, kerja-kerja luaran sudah disiapkan. Menurut JKR yang tinggal adalah kerja-kerja dalaman.

"Namun ianya dijangka akan siap menjelang bulan Mei nanti kerana Pulau Pinang akan menjadi hos untuk Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan ke-28," katanya selepas majlis anugerah Heritage serta pemberian cek cura kepada penerima insentif pembaikan bangunan warisan kategori satu dalam tapak warisan dunia UNESCO di sini.

Dalam perkembangan lain, Chow Kon Yeow berkata, projek penambahbaikan Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah sudah mencapai 94 peratus. 

Projek itu dibiaya Kerajaan Pusat bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) dengan peruntukan RM10 juta dan dijangka dibuka pada Jun depan mengikut jadual yang ditetapkan. 

Galeri itu bakal menempatkan artifak dan rangka-rangka manusia termasuk 'Penang Woman' yang ditemukan ketika kajian penyelidikan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI