fb fb fb fb fb

Naik taraf kompleks Rakan Muda Kuala Pilah telan kos RM6 juta

Foto Facebook Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah

KUALA PILAH, 19 November – Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah akan menjalani projek naik taraf bernilai RM6 juta, dijangka bermula Februari tahun depan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, kompleks itu akan siap menjelang penghujung tahun 2026.

Menurut Adam, projek itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kini berada pada peringkat awal perancangan.

“Kementerian sedang dalam proses untuk menaik taraf Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah. Projek tersebut akan dilaksanakan oleh JKR dengan kos sebanyak RM6 juta.

"Buat masa sekarang, pihak JKR sedang menjalankan kerja-kerja awalan seperti memurnikan skop kos dan dokumen tender,” katanya.

Adam Adli berkata demikian ketika menjawab soalan ahli Parlimen Kuala Pilah yang meminta penjelasan mengenai perancangan kerajaan untuk menaik taraf bangunan dan fasiliti sukan di Kompleks Rakan Muda di Kuala Pilah.

Dalam pada itu, Adam berkata kementerian kini merangka program bawah Rakan Muda mengikut peredaran zaman dan kesesuaian kehendak dan juga minat terkini anak muda.

“Contohnya jika ada minat dalam bidang seperti sukan elektronik, sukan ekstrem, bidang sukarelawan dan alam sekitar dan sebagainya setiap minat yang berbeza ini boleh dirancang Rakan Muda.

“10 gaya hidup itu seperti rakan litar, rakan ekspresi, rakan demokrasi, rakan mahir, rakan niaga aktif, rakan bumi, rakan digital serta apa sahaja yang perlu kita ataupun apa yang boleh dilaksanakan oleh golongan muda,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN