KUALA LUMPUR, 5 Mac - Kerajaan komited meningkatkan kecekapan bekalan air dan elektrik untuk terus membangunkan Wilayah Labuan, sekali gus meningkatkan kepercayaan pelabur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata pelan pembangunan jangka sederhana dan jangka panjang telah dilaksanakan dan sedang dijalankan melalui agensi-agensi berkaitan.
"Antaranya adalah seperti cadangan stesen janakuasa baharu yang berkapasiti 100 hingga 130 megawatt (MW) yang mula beroperasi pada tahun 2028 serta program menaik taraf serta penggantian sistem bekalan.
"Selain itu, projek peningkatan kapasiti penjanaan 10 megawatt pencawang pembahagi utama ENOE telah di peringkat akhir projek dan dijangka akan siap penghujung Mac 2024. Pelaksanaan projek bekalan air yang kini tertumpu kepada strategi untuk menggunakan peruntukan RM300 juta yang diumumkan bagi
menaik taraf sistem bekalan air," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Ini bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Indera Dr. Suhaili bin Abdul Rahman mengenai status program-program yang dilaksanakan di wilayah itu.
Tambah Dr Zaliha, untuk program MADANI rakyat Labuan 2024, sebanyak 113 program telah dicadang untuk dilaksanakan.