KUALA LUMPUR, 26 November- Sebanyak RM16.8 juta diperuntukkan kepada Prasarana untuk menaik taraf kesemua 11 stesen Monorel KL secara berperingkat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan, daripada jumlah itu, lebih RM6 juta dikhaskan untuk membaik pulih fungsi pintu platform automatik (PAGS).
Menurut beliau, kesemua PAGS di setiap stesen dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.
Setakat ini, PAGS di Stesen KL Sentral dan Stesen Tun Sambanthan, telah mula beroperasi sepenuhnya sejak dua minggu lalu.
"Menjelang akhir bulan ini, empat lagi stesen akan siap dengan PAGS iaitu Maharajalela, Imbi, Hang Tuah dan Bukit Bintang.
Selebihnya termasuk Raja Chulan, Medan Tuanku, Titiwangsa, Bukit Nanas dan Chow Kit, dijangka siap sepenuhnya menjelang 31 Disember tahun ini," kata Anthony kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau status kerja menaik taraf fasiliti di laluan stesen Monorel KL di ibu negara.
Sementara itu, RM10 juta turut diperuntukkan untuk penyelenggaraan lif dan eskalator, yang dijangka selesai sepenuhnya pada April tahun depan.
Tegas beliau, usaha berterusan itu penting bagi meningkatkan keselesaan pengguna dan mengurangkan risiko kemalangan, khususnya untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Dalam tempoh 2017 hingga kini, sebanyak 10 insiden direkodkan melibatkan penumpang terjatuh ke atas trek monorel.
Dalam pada itu, penambahan bilangan gerabak Monorel KL sedang dipertimbang kerajaan bagi meningkatkan kekerapan perkhidmatan.
Anthony berkata usaha itu selaras bagi menampung peningkatan jumlah pengguna perkhidmatan awam khususnya monorel.
"Memang kita ada tambahan lagi gerabak-gerabak untuk monorel, supaya monorel ini dapat bergerak dengan lebih kerap lagi.
Sekarang ini, kekerapan kita ialah tujuh minit pada waktu puncak. Jadi, memang kita harap dia dapat dikurangkan sehingga 5 minit setiap perjalanan," tambah Anthony.
Beliau turut memaklumkan kontrak untuk menambah tiga lagi set gerabak Monorel KL telah dianugerahkan dan dijangka diterima pada tahun 2026.