KUALA LUMPUR, 26 November- Beberapa isu dalaman yang melanda Perikatan Nasional (PN) kebelakangan ini menggambarkan hubungan antara PAS dan Bersatu yang berada di ambang keretakan.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) yang juga Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Fadzil menyifatkan hubungan PAS-Bersatu ibarat retak menanti belah.
Ini termasuk pertikaian berterusan dalam PN, seperti pemecatan wakil Bersatu dalam rombakan Kabinet Perlis baru-baru ini.
Beliau menyifatkan prestasi pembangkang dalam melaksanakan tugas semak dan imbang, terutama di Dewan Rakyat, semakin lemah.
"Kalau kita lihat hubungan di antara PAS dan Bersatu ni semakin panas. Apakah ini bibit-bibit yang menunjukkan kelemahan dalam PN dan juga hubungan yang makin renggang.
"Ini bagi saya satu perkara yang semakin hari semakin jelas dan sudah pasti prestasi pihak PN, pembangkang di Parlimen cukup sendu.
"Bila mereka tidak boleh membincangkan perihal yang substantif, malah untuk dua tahun berturut-turut, mereka gagal untuk menampilkan 'schedule budget' ataupun belanjawan alternatif," katanya kepada pemberita di sini.
Fahmi berkata demikian ketika ditanya mengenai penyingkiran dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu daripada Exco Kerajaan Perlis di bawah pimpinan PN, semalam.