fb fb fb fb fb

Nahas TLDM: Tempoh kaunseling, bergantung pada tahap pemulihan waris

Foto BERNAMA

SITIAWAN, 28 April- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia memberi bimbingan kaunseling kepada waris mangsa TLDM selama mana ia diperlukan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata tiada tempoh masa ditetapkan, segalanya bergantung kepada keperluan dan keadaan semasa waris.

Jelas beliau, sokongan itu akan diberikan oleh kaunselor Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

"Itu bergantung kepada keadaan individu tersebut. Tetapi, kita biarkan dahulu sebab memang ialah masing-masing nak bersendirian nak merasa sedih atas apa yang berlaku."

"Seperti apa yang saya katakan tadi, orang yang mereka sayang, paling rapat dengan mereka dan ada sesetengahnya kehilangan individu dimana tempat mereka bergantung harap bagi keluarga."

Namun, KPWKM akan sentiasa ada untuk mendengar dan membantu semua waris mangsa," kata Noraini kepada pemberita ketika menyantuni dan menyerahkan bantuan Skim Pemberian Ehsan Yayasan Kebajikan Negara (PEKAYKN) berjumlah RM3,000 kepada tiga waris keluarga mangsa di Perak.

Sementara itu, ibu kepada mendiang Leftenan Komander T Sivasutan, A.Parameswari memzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu urusan anaknya sehingga persemadian.

Beliau mengakui bimbingan kaunseling diberikan sedikit sebanyak mengurangkan beban ditanggung keluarga.

Kami dianggap sebagai ahli keluarga sendiri. Ia amat berkesan dan efektif, bukan sahaja nak jalankan tugas semata-mata. Mereka melaksanakan tugas dengan hati dan empati mereka sebagai manusia," kata A. Parameswari kepada pemberita.

Selain mendiang T Sivasutan, Datuk Seri Dr Noraini turut menziarahi waris keluarga Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi dan Pegawai Waran II Nurfarahimi Mohd Suady di Sitiawan dan Lumut, Perak.

Dalam insiden Selasa lalu, Sivasutan, Mohd Shahrizan dan Nurfarahimi antara tiga daripada 10 anggota TLDM yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut.

Ketika kejadian, mereka sedang menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM