KUALA LUMPUR, 20 Ogos- Kerajaan menyerahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk mengambil tindakan ke atas pemilik pesawat Beechcraft yang terlibat dalam nahas di Elmina, Shah Alam pada Ogos tahun lepas, sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang daripada segi pengoperasian pesawat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata CAAM sedang menjalankan siasatan terperinci berkenaan nahas tersebut dan sedang meneliti semua kelompongan peraturan yang perlu ditambah baik.
"Seperti yang dikatakan dalam laporan itu, ada sedikit kelompongan daripada segi peraturan berkenaan dengan pesawat asing. Pesawat asing yang beroperasi sebagai penerbangan am. Dia bukan penerbangan asing ya. Jadi, jangan salah faham."
"Semua syarikat-syarikat penerbangan am ini bukan penerbangan untuk penumpang biasa. Jadi, operasinya berlainan dan memang ada keperluan untuk kita memperketatkan peraturan-peraturan berkenaan," jelas Anthony kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata CAAM dijangka membentangkan laporan siasatan berhubung nahas pesawat tersebut pada akhir tahun ini.
Laporan akhir nahas Pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Elmina Shah Alam mendedahkan faktor nahas berlaku disebabkan tindakan peluasan tidak sengaja ‘lift dump spoiler’ oleh kru penerbangan ketika melakukan pemeriksaan sebelum mendarat.
Laporan siasatan yang dikeluarkan Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) mendapati latihan kru yang tidak mencukupi dan kurangnya kesedaran tentang operasi sistem ‘lift dump’ turut menjadi faktor penyumbang ke atas nahas yang mengorbankan enam orang dalam tragedi itu.