Nahas lori di Sibu, seorang maut dan dua cedera

Foto BBP Bintangor

SIBU, 24 Februari– Seorang lelaki maut manakala dua cedera dalam satu kemalangan di Jalan Batu 12, Sibu, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Satu lori muatan baja melanggar bahagian belakang lori tangki yang sedang parkir di Jalan Batu 12, Sibu.
  • Seorang lelaki, Stanley Ali, 30, disahkan maut di lokasi manakala dua lagi cedera.
  • Dua kelindan tersepit dalam kabin remuk; pemandu berjaya keluar sendiri dengan kecederaan.
  • Operasi penyelamatan sukar, melibatkan peralatan khas dan bantuan lori dari Sarikei, tamat pada 6:55 pagi.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, panggilan kecemasan diterima pada pukul 12.04 tengah malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dengan bantuan BBP Sarikei digerakkan ke lokasi kejadian.

Jelasnya, kemalangan melibatkan sebuah lori muatan baja yang melanggar bahagian belakang sebuah lori tangki yang parkir di tepi jalan.

Ujarnya, mangsa yang maut dikenali sebagai Stanley Ali, 30 tahun manakala mangsa yang cedera dikenali sebagai Schwarznegger Samuel Numpang, 30 tahun dan Maxwell Bernard Empam, 22 tahun.

Hasil pemeriksaan awal mendapati dua lelaki yang merupakan kelindan lori baja tersepit di dalam kabin, manakala pemandu lori berkenaan berjaya keluar menyelamatkan diri dalam keadaan cedera.

Operasi menyelamat berdepan kesukaran berikutan ruang kerja yang sempit dan keadaan kenderaan yang remuk teruk menyebabkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) terpaksa menunggu bantuan sebuah lori dari Sarikei untuk menarik kenderaan terbabit bagi membuka ruang kerja.

Mangsa pertama berjaya dikeluarkan dalam keadaan sedar dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, seorang lagi mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM di lokasi kejadian sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

PKO menggunakan peralatan khas termasuk bagi merenggang serta memotong bahagian kabin yang tersepit sebelum berjaya mengeluarkan mangsa.

Operasi tamat pada pukul 6:55 pagi setelah semua mangsa berjaya dikeluarkan.