fb fb fb fb fb

Nahas helikopter terhempas, proses bedah siasat mangsa selesai sepenuhnya - TLDM

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 24 April- Proses bedah siasat melibatkan 10 mangsa nahas helikopter terhempas di Lumut yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selesai pada pukul 2.20 petang tadi.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan jenazah mangsa beragama Islam akan dibawa ke Kem Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Ipoh untuk solat jenazah.

Sementara itu, mayat mendiang Leftenan T Sivasutan pula, dibawa pulang ke kediaman keluarga di Sitiawan, Perak sebelum disemadikan pada Khamis.

Mayat mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia Rohna pula akan dibawa pulang ke Serian, Sarawak menggunakan pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Pihak pengurusan tertinggi TLDM yang dilantik telah menghubungi waris mangsa melalui unit masing-masing tentang tragedi itu."

"TLDM juga akan terus memberi sokongan daripada segi bantuan pengurusan jenazah dan sebarang keperluan daripada pihak waris sebaik mungkin," kata kenyataan itu.

Penghormatan terakhir buat semua wira TLDM yang terkorban akan dilaksanakan mengikut tradisi TLDM di setiap lokasi pengebumian yang dipersetujui waris.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM