SITIAWAN, 24 April- Bapa kepada Leftenan T Sivasutan yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut semalam menyifatkan mendiang seorang yang penyayang dan mengambil berat terhadap keluarganya.
M Thanjappan berkata anak kedua daripada tiga beradik itu juga sentiasa mengikut nasihat dia dan isterinya, R Paramesvary, dalam membuat sebarang keputusan demi kebaikan anak mereka.
Thanjappan berkata mendiang Sivasutan merupakan simbol keceriaan dalam keluarga. Keceriaan keluarganya turut berubah semenjak menerima berita kehilangan anak lelakinya itu.
Beliau mengakui perit menerima kenyataan kehilangan anak tersayang, namun reda dengan ketentuan yang telah ditetapkan.
"Semuanya takdir redha tuhan, Islam kata Dia yang memberi, Dia yang mengambil. Masa kita datang, tak ada apa-apa pun, masa kita balik pun tidak ada apa. Yang hanya tinggal nama,..Sivasutan mungkin nama dia, takkan ada, tapi hari ini semua satu Malaysia sudah kenal dia siapa, hanya satu pilot India", katanya kepada media di kediamannya di Taman Serdang Jaya, Sitiawan Perak.
Thanjappan juga memberitahu, mendiang yang berusia 31 tahun baharu mendirikan rumah tangga pada 25 Januari lepas.