
TELUK INTAN, 13 Februari – Pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung nahas membabitkan sebuah kereta dan kereta peronda polis di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Puncak Jelapang di sini, Selasa lalu.
- Polis sedang menyiasat nahas maut melibatkan kereta dan kereta peronda di Puncak Jelapang.
- Polis minta pemilik rakaman dashcam tampil bantu siasatan; setakat ini tiada rakaman diterima.
- Dua saksi awam telah memberi keterangan; kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Mohammad Azlin Sadari berkata setakat ini dua saksi awam telah tampil memberikan keterangan berhubung kemalangan yang mengakibatkan seorang kanak-kanak perempuan, maut itu.
Beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) mengenai kejadian, tampil bagi membantu siasatan.
Katanya, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.
“Sekiranya tiada lagi saksi-saksi lain atau sama ada perlu penambahbaikan dalam sudut siasatan ataupun tidak, bergantung kepada pihak Timbalan pendakwa raya yang akan membuat dapatan berdasarkan hasil yang diperoleh,” katanya.
Jelas beliau, setakat ini pihak polis masih belum menerima sebarang rakaman kamera papan pemuka daripada orang awam berhubung nahas berkenaan.
DCP Mohammad Azlin berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya bersempena Tahun Baharu Cina 2026 di Plaza Tol Teluk Intan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.35 petang itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut selepas kereta dipandu ibunya bertembung dengan kereta peronda polis di kawasan Puncak Jelapang.
Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan, manakala ibunya serta dua anggota polis yang terlibat, cedera.
Siasatan awal mendapati kenderaan dipandu wanita berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta peronda polis.