fb fb fb fb fb

Nahas bas rombongan: 27 individu dibenarkan pulang

Gambar yang sempat dirakamkan rombongan guru SK Jeram, Masjid Tanah, Melaka sebelum bertolak ke Terengganu

KUANTAN, 11 Jun - Seramai 27 mangsa dalam kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres dan sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau pada Ahad telah dibenarkan pulang, semalam.

Manakala lapan orang lagi masih mendapatkan rawatan di hospital di Kuantan, Segamat dan Melaka.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman dalam satu kenyataan berkata, lima individu masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

"Seorang daripadanya stabil namun masih tidak boleh bergerak kerana mengalami patah tulang belakang dan seorang lagi telah dipasang tiub dada kerana mengalami kecederaan paru-paru.

"Sementara itu, dua lagi masih memerlukan pemantauan kerana mengalami patah pada tulang belakang dan tulang rusuk; manakala seorang lagi diletakkan cervical colar (alatan sokongan serviks) kerana mengalami kecederaan di tulang cervical (belakang leher)," katanya.

Di Hospital Segamat, Johor pula, dua orang masih menerima rawatan dan seorang lagi di hospital swasta di Melaka.

Dalam nahas jalan raya awal pagi Ahad, bas yang membawa 39 penumpang temasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa rombongan guru SK Jeram, Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

Dalam kejadian itu, empat dilaporkan maut iaitu Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah Melaka, Hasnatul Adilah Hassan, 48; pemandu kedua bas, Hadi Asyraf Mad Idris, 29; pembantu operasi sekolah, Hamzah Ahmad, 60 dan guru, Dahlia Ahmad, 52 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN:

GRACE AISYAH KEDAYAN