PUTRAJAYA, 18 Julai - Enam Perintah Tetap Operasi (PTO) baharu bakal dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata PTO baharu itu bagi memantapkan pengurusan bencana negara serta persediaan negara bagi menghadapi perubahan cuaca luar jangka.
Katanya, ketika ini draf mengenai PTO tersebut telah siap dan akan diperhalusi dalam beberapa sesi melibatkan pihak berkepentingan sebelum ianya dilaksanakan.

Sesi Libat Urus bersama Rakan Media Dan Agensi Berkaitan Pengurusan
Bencana Negara di PICC / FOTO BERNAMA)
"PTO ini perlu kita libatkan ahli akademik, badan bukan kerajaan dan pakar dalam pelbagai bidang termasuk pakar teknologi.
"Jadi sebelum kita keluarkan adalah lebih baik kita dapatkan dahulu pandangan daripada beberapa pakar ini," katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus bersama media dan agensi berkaitan Pengurusan Bencana Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.
Armizan berkata, PTO baharu itu membabitkan komunikasi bencana, pusat kawalan operasi bencana, pusat kawalan tempat kejadian, bencana nuklear dan radiologi, bantuan kemanusiaan di peringkat antarabangsa dan bencana tanah runtuh.
Katanya, sebelum ini NADMA telah mengeluarkan tujuh PTO iaitu banjir dan siklon tropika, industri, jerebu, petrokimia, gempa bumi, tsunami dan kemarau.