fb fb fb fb fb

NADI Kampung Warisan mulakan operasi penuh pada 25 Oktober

Fahmi Fadzil dalam Lawatan Kerja ke NADI Kampung Warisan, Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 19 Oktober- Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Kampung Warisan, Kota Kinabalu akan mula beroperasi sepenuhnya pada 25 Oktober ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, terdapat 118 NADI di negeri itu dengan 14 NADI baharu yang telah dan sedang dibangunkan bagi tahun 2024.

10 daripada 14 NADI baharu ini telah siap beroperasi, manakala empat NADI lagi dalam proses pelaksanaan dan dijangka siap Disember ini.

"...setelah diberikan pengarahan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semua NADI sekarang menyediakan bukan hanya lebih banyak program. Kalau di sini kita lihat program e-Kelas bawah Maxis dengan anak-anak supaya mereka boleh mengulang kaji ataupun terlibat dalam pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

"Kita juga berhasrat untuk bawa NADI keluar masuk ke dalam komuniti niatnya supaya bukan hanya komuniti di sekitar NADI secara fizikal akan dapat manfaatkan tetapi meliputi komuniti yang lebih luas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Lawatan Kerja ke NADI Kampung Warisan, di sini.

Penambahan NADI di seluruh Malaysia termasuk di negeri Sabah membuktikan usaha Kerajaan untuk meningkatkan capaian maklumat dan teknologi di kawasan yang memerlukan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI