fb fb fb fb fb

NADI bantu dan latih lebih 3,850 usahawan di Sarawak

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melawat Pusat Ekonomi Digital (PEDi) bersama usahawan /Gambar fail Facebook Fahmi

KUALA LUMPUR, 10 Julai - Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Ekonomi Digital, berjaya merekodkan hasil jualan lebih RM2.56 juta bagi tempoh Jun 2021 hingga Disember 2023.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, NADI berjaya meningkatkan sosio-ekonomi komuniti setempat, justeru bilangannya juga akan ditambah.

"Usahawan NADI di Sarawak setakat ini telah berlatih dari segi pemasaran melalui platform dalam talian seperti Shopee dan platform lain.

Antara kisah kejayaan anak Sarawak adalah Cik Ramtiniwaiti Ramlee daripada NADI Kampung Gedong di daerah Simunjan, Parlimen Batang Sadong, yang telah berjaya menembusi pasaran global seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Sepanyol, India, China, Jepun, Indonesia dan beberapa negara Asia Tenggara lain.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga telah menerbangkan beliau dan produk beliau iaitu tenunan songket Maskota ke Persidangan Mudah Alih Dunia di Barcelona, Sepanyol awal tahun 2024 sebagai bukti kejayaan NADI sebagai pemangkin dalam meningkatkan sosio-ekonomi anak-anak Sarawak,” katanya menjawab pertanyaan Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Dr Richard ingin tahu penilaian terkini keberkesanan kursus keusahawanan digital yang diperkenalkan di PEDi di Sarawak dan langkah yang diambil untuk memastikan aksesibiliti dan kualiti kursus keusahawanan digital dapat ditingkatkan.

Tambah Fahmi, setakat ini terdapat 133 buah NADI yang sedang beroperasi di Sarawak.

Katanya, di bawah inisiatif Satu Dewan Undangan Negeri (DUN) Satu NADI, sebanyak 23 NADI baharu akan diwujudkan.

"Insya-Allah sebanyak 23 NADI baharu akan diwujudkan sebelum penghujung tahun ini yang akan menjadikan keseluruhan NADI di Sarawak berjumlah 156," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN