
SEREMBAN, 13 Januari – Kerajaan Negeri Sembilan telah menerima bayaran pertama pampasan premium tanah di Kem Syed Sirajuddin, Gemas berjumlah RM72.49 juta daripada Kerajaan Persekutuan pada 31 Disember lalu.
- Kerajaan Persekutuan setuju membayar keseluruhan premium tanah RM1.26 bilion untuk 3,800 hektar di Mukim Ayer Kuning, Gemas.
- Penyerahan tanah Gemas adalah isu sejak 2012 dan melibatkan tanah luas untuk latihan Kementerian Pertahanan.
- Negeri Sembilan menerima bayaran pertama pampasan secara beransur-ansur selepas tertangguh lebih 10 tahun.
- Menteri Besar mengumumkan perkembangan itu selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri 2026.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju membayar keseluruhan premium tanah berjumlah RM1.26 bilion, melibatkan kawasan seluas 3,800 hektar di Mukim Ayer Kuning, Gemas, Daerah Tampin.
“Penyerahan tanah Gemas ini merupakan isu sejak tahun 2012 apabila kerajaan negeri telah memberikan sebuah tanah seluas 3,800 hektar.
“Saya rasa, ini tanah paling luas dalam negera kita yang dimiliki oleh Kementerian Pertahanan untuk latihan mereka. Alhamdulillah kami telah menerima bayaran pertama premium secara beransur yang telah tertangguh selama lebih 10 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan amanat dalam Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2026 di Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan di sini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan bersetuju menyelesaikan bayaran pampasan premium tanah yang tertunggak sejak sekian lama kepada kerajaan Negeri Sembilan, melibatkan tanah di kawasan berkenaan.