N. Sembilan peruntuk lebih RM30 juta BAP kepada pelajar sekolah

Foto Facebook Datuk Seri Aminuddin Harun

PORT DICKSON, 17 Januari – Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan sebanyak RM30.14 juta Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada lebih 200,000 murid melibatkan 478 buah sekolah bagi tahun 2026 di negeri itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif BAP bertujuan memastikan tiada anak Negeri Sembilan tercicir dalam pembelajaran dan memulakan persekolahan dengan selesa.
  • Kerajaan negeri melaksanakan sokongan bersasar seperti Bantuan Anak Sekolah RM500 dan Biasiswa Anak Negeri RM550 setiap seorang.
  • Ibu bapa menghargai bantuan itu kerana meringankan beban perbelanjaan sekolah dan diharapkan diteruskan pada masa hadapan.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, melalui inisiatif itu diharap tiada lagi anak-anak Negeri Sembilan keciciran dalam pembelajaran dan dapat memulakan persekolahan dengan lebih selesa dan bermaruah.

“Seharusnya ditumpukan utk memastikan anak kita dtg ke sekolah dgn satu semangat dengan satu kelengkapan yg lebih baik dan mereka tidak rasa merendah diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Penyerahan Cek Cura BAP Kementerian Pendidikan Negeri Sembilan 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Intan Perdana di sini.

Kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif sokongan Pendidikan secara bersasar antaranya Bantuan Anak Sekolah sebanyak RM500 seorang bagi keluarga berpendapatan rendah menampung keperluan persekolahan harian.

Turut diperkenalkan Biasiswa Anak Negeri, berjumlah RM550 seorang yang merupakan inisiatif di negeri itu, bagi membuka peluang kepada para pelajar menunjukkan potensi serta kecemerlangan tanpa dibatasi kekangan kewangan keluarga.

Dalam pada itu, ibu bapa turut menzahirkan rasa syukur atas bantuan yang diterima, yang disifatkan membantu meringankan perbelanjaan keluarga, khususnya melibatkan keperluan anak-anak.

Suri rumah, Noor Haslin Ahmad, 52, berkata bantuan berkenaan sekurang-kurangnya dapat digunakan untuk membeli keperluan persekolahan anak-anak yang masih bersekolah.

“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya bantuan ini dapat digunakan untuk membeli peralatan sekolah anak-anak, memandangkan ada ketika kami berdepan kekangan kewangan untuk menampung keperluan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Tadbir Politeknik Port Dickson, Shamsuri Saari, 47, berharap inisiatif berkenaan dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

“Saya berharap inisiatif ini dapat diteruskan dan sekiranya ekonomi negara bertambah baik pada masa hadapan, bantuan ini dapat ditambah demi manfaat rakyat,” katanya.

Majlis berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Sembilan dalam memperkukuh agenda pendidikan dan kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan