fb fb fb fb fb

MZN 2024, platform pertingkat pengurusan institusi zakat

Ketua Divisyen Syariah Dan Dakwah Lembaga Zakat Selangor (LZS), Salehuddin Abu Samah

BANGI, 2 Julai- Muzakarah Zakat Nusantara (MZN) 2024 berjaya menggabungkan lima negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.

Menurut Ketua Divisyen Syariah Dan Dakwah Lembaga Zakat Selangor (LZS), Salehuddin Abu Samah, MZN telah menjadi platform rujukan institusi zakat untuk merungkai pelbagai persoalan dan mencetuskan inovasi zakat di rantau ASEAN menerusi anjuran edisi keduanya.

Mengangkat tema Kelestarian Syariah dan Pemerkasaan Dakwah Zakat Mendepani Keperluan Zaman, MZN juga membentangkan 41 kertas kerja bagi mengupas topik berkaitan pengurusan zakat terutama berkenaan perkembangan syariah dan isu-isu semasa.

"Di dalam muzakarah ini kami merancang untuk menghasilkan resolusi-resolusi dan insya-Allah resolusi ini akan dibentangkan pada hari akhir, iaitu hari ketiga pada esok."

"Kita bentang solusi untuk persetujuan semua ahli muzakarah. Dalam solusi itulah akan dinyatakan perkara-perkara yang cuba diusahakan dibuat namun harus diingatkan kuasa kita ini terikat juga dengan undang-undang peraturan di setiap negeri dan negara masing-masing," kata Salehuddin kepada pemberita, hari ini.

MZN kali ini, dihadiri lebih 280 perserta yang terdiri dari para ulama, penasihat syariah, cendekiawan Islam dan pengamal kewangan secara fizikal dan dalam talian.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM