fb fb fb fb fb

MyPLUS-TTA bolehkan penguna rancang perjalanan musim perayaan

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

PETALING JAYA, 30 Januari- Pengguna lebuh raya kini boleh merancang perjalanan semasa musim perayaan melalui penggunaan aplikasi MyPLUS-TTA.

MyPLUS-TTA merupakan sebuah aplikasi digital yang dibangunkan oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi mengoptimumkan pengagihan trafik bagi mengurangkan risiko kesesakan dan meningkatkan keselesaan perjalanan pengguna lebuh raya Malaysia.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, aplikasi ini berkonsepkan pengagihan trafik berdasarkan pola perjalanan pada musim perayaan sebelum ini.

"Aplikasi ini penting kalau seseorang pengguna jalan raya semasa cuti nanti untuk mengetahui bila masa yang lebih sesuai untuk mengelakkan kesesakan dan sebagainya di lebuhraya semasa musim percutian itu. Jadi ini sangat membantu", katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi MyPlus-TTA di Petaling Jaya.

Tambah beliau, inisiatif MyPLUS-TTA ini menunjukkan kepentingan integrasi teknologi di dalam pengurusan lebuh raya negara. Ia bukan sekadar akan memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya, malah menyumbang kepada kelestarian infrastruktur lebuh raya negara dengan mengagihkan trafik pada musim perayaan, meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna selain mengurangkan risiko kesesakan.

Ini membuktikan usaha dan komitmen berterusan PLUS dalam menambah baik mutu perkhidmatan lebuh raya, selain daripada menyokong aspirasi pendigitalan negara.

MyPLUS-TTA merupakan salah satu daripada inisiatif di bawah rangka strategi jangka panjang PLUS ke arah Lebuh Raya Pintar "Smart Highway” untuk mempercekap operasi dan perkhidmatan lebuh raya PLUS serta memberi lebih kemudahan dan keselesaan kepada pengguna.

Ia boleh diakses menerusi Aplikasi PLUS yang boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store bagi peranti Android dan App Store bagi pengguna iPhone.

ROSLINA BINTI DIN