MyGENTERA perkasa golongan belia penggerak budaya keselamatan jalan raya

Anthony Loke ketika merasmikan kempen “Spot It” di TAR UMT di ibu negara, hari ini. Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 April — Kementerian Pengangkutan (MOT) memperkukuh Program Generasi Sejahtera Malaysia (MyGENTERA) bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi melahirkan golongan muda sebagai penggerak utama budaya keselamatan jalan raya di peringkat komuniti.

RINGKASAN BERITA AI
  • MyGENTERA bersama MIROS membentuk golongan muda sebagai penggerak utama budaya keselamatan jalan raya di peringkat komuniti.
  • Latihan berstruktur, kepimpinan rakan sebaya dan penglibatan komuniti untuk menerapkan nilai keselamatan jalan raya secara menyeluruh.
  • 'Spot It' tingkatkan kesedaran titik buta kenderaan berat; kempen akan diperluas ke lebih banyak kampus dan komuniti.

Menterinya, Anthony Loke berkata, inisiatif itu memberi tumpuan kepada pembentukan generasi muda yang bukan sahaja peka terhadap aspek keselamatan jalan raya, malah berperanan memimpin perubahan sikap dalam kalangan masyarakat.

“Melalui latihan berstruktur, inisiatif dipimpin rakan sebaya dan penglibatan komuniti, MyGENTERA bertujuan membentuk budaya keselamatan yang digerakkan anak muda sendiri.

“Keselamatan jalan raya tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata. Ia mesti diterapkan sebagai nilai bersama, khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya ketika berucap pada program “Spot It: Kempen Kesedaran Titik Buta dan Keselamatan Jalan Raya di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) di sini, hari ini.

Anthony berkata, pelaksanaan MyGENTERA selari dengan usaha memperluas pendidikan keselamatan jalan raya secara lebih menyeluruh, termasuk meningkatkan kesedaran terhadap bahaya titik buta kenderaan berat yang semakin membimbangkan.

Menurutnya, kempen “Spot It” akan dijadikan platform berterusan dan diperluas ke lebih banyak kampus serta komuniti bagi membentuk budaya jalan raya yang lebih selamat dan bertanggungjawab.