MyCC bakal diperkasa melalui pindaan akta untuk bendung amalan kartel

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali/Foto RTM

SABAK BERNAM, 12 Februari – Bidang kuasa Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan diperkasakan melalui pindaan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 dan Akta Persaingan 2010, yang dijangka dibentangkan selewat-lewatnya pada sesi Parlimen akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pindaan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 dan Akta Persaingan 2010 akan memperkasakan bidang kuasa MyCC terhadap amalan kartel.
  • Perubahan termasuk peluasan kuasa penyiasatan dan aspek rayuan, membolehkan tindakan lebih berkesan terhadap pelaku kartel.
  • MyCC kini menyiasat kira-kira 500 perusahaan berkaitan kartel; keputusan Tribunal mengekalkan penalti RM415.5 juta ke atas syarikat terlibat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah itu bertujuan membanteras amalan kartel yang menjejaskan kos sara hidup rakyat.

“Tujuannya adalah memperkasakan kapasiti dan bidang kuasa MyCC untuk mengekang amalan kartel, khususnya pakatan penetapan harga, pasaran, kuantiti pengeluaran serta tipuan bida, yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) di sini hari ini.

Beliau berkata pindaan itu juga melibatkan aspek rayuan dan peluasan kuasa penyiasatan.

Pada masa ini, jika kes diputuskan di Tribunal Rayuan Persaingan (TRP), pihak yang didapati bersalah boleh membuat rayuan ke peringkat lebih tinggi, namun MyCC hanya terhad sehingga tribunal tersebut sahaja.

Armizan berkata setakat ini, kira-kira 500 perusahaan sedang disiasat MyCC berhubung empat kategori kartel berkenaan.

Beliau turut mengulas keputusan Tribunal Rayuan Persaingan semalam yang menolak rayuan empat syarikat berhubung pelarasan harga makanan ayam, sekali gus mengekalkan penalti RM415.5 juta yang dikenakan ke atas lima syarikat oleh MyCC pada Disember 2023.