
KANGAR, 13 Januari – Tanaman padi seluas hampir 380 hektar terancam berikutan keadaan air sawah
yang kering setiap kali musim kemarau.
- Musim kemarau menyebabkan sawah kering, mengancam tanaman padi dan menimbulkan keresahan dalam kalangan pesawah.
- Pesawah risau kerosakan dan kerugian kerana telah mengeluarkan modal besar serta ada yang menyewa tanah sawah.
- Pesawah memohon perhatian pihak berwajib kerana usaha lapangan sebelum ini belum menyelesaikan masalah kekurangan air.
Keadaan itu sekali gus menimbulkan keresahan kepada 200 pesawah pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Paya, di sini.
Situasi yang berlaku juga berpotensi menyebabkan tanaman padi yang diusahakan petani terjejas dan mengakibatkan kerugian kepada petani.

Seorang pesawah Ahmad Nasharuddin Yob berkata, ketika ini usia tanaman padi sudah dua bulan dan sangat memerlukan air.
“Ratusan petani di sini sangat mengharapkan air kerana kami sudah mengeluarkan modal yang banyak termasuk ada yang menyewa tanah sawah untuk menanam padi.
“Jika keadaan berterusan tiada air, tanaman kami akan rosak hingga mengakibatkan kami menanggung kerugian dan keadaan ini beri tekanan kepada petani,” katanya.
Seorang lagi pesawah, Shamsuri Saad, berharap perhatian daripada pihak berwajib agar dapat membantu menyelamatkan padi pesawah.

“Selain itu kawasan kami juga sebelum ini dilanda banjir yang menyebabkan petani di sini terpaksa menanam semula padi pada musim ini,” katanya.
Khalid Sabu, pula berkata, situasi sama pernah berlaku tahun 2019, namun bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Allahyarham Datuk Salahuddin Ayub
pada ketika itu telah mengambil tindakan pantas membantu pesawah terjejas.
“Kami juga sudah maklumkan permasalahan ini kepada pihak berwajib, namun masih setakat ini tiada sebarang tindakan yang mampu menyelesaikan masalah ini,” katanya.