fb fb fb fb fb

Musa Hitam dilantik Menteri Darjah (Chancellor) baharu

Tun Musa Hitam/ Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 25 September - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam sebagai Menteri Darjah (Chancellor) yang baharu bagi Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata pelantikan Musa adalah bagi tempoh tiga tahun mulai 13 September 2024 hingga 12 September 2027.

"Pelantikan ini selari dengan keperluan yang dinyatakan di dalam Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia bagi memastikan urusan menandatangani watikah-watikah kurniaan Darjah Yang Mulia Setia Mahkota bawah Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan berjalan lancar," kata kenyataan itu.

Beliau yang dilahirkan pada 18 April 1934 di Segamat, Johor pernah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dari Julai 1981 hingga Mac 1986.

Selain itu beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri dari 1974 hingga 1978, Menteri Perusahaan Utama dari 1978 hingga 1981 dan Menteri Pendidikan dari 1981-1986.

Beliau juga pernah menjadi Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB), Pengerusi, Panel Penasihat Antarabangsa CIMB Group, Pengerusi, Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia, Pengerusi, United Malayan Land Bhd juga Pengerusi, United Malayan Land Bhd.

Jawatan Menteri Darjah bukan berstatus menteri,  setiap darjah kebesaran, pingat dan bintang ada watikah dan setiap watikah perlu ditandatangani oleh dua pihak, iaitu Pendaftar Darjah, Menteri Darjah sebelum ditandatangani Yang di-Pertuan Agong.

Tugas Menteri Darjah hanya tandatangan watikah untuk memastikan ketulenan watikah yang dikeluarkan.

 

TETITIA YUSOFF