fb fb fb fb fb

Mula beroperasi 17 Ogos depan, Nusantara komited bangunkan ekonomi Borneo

Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono

KUCHING, 27 Julai- Republik Indonesia mahu tingkatkan kerjasama bangunkan kegiatan ekonomi di Borneo selepas Nusantara beroperasi secara rasmi 17 Ogos depan.

Menurut Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono, kerjasama berkenaan melibatkan Sabah dan Sarawak di Malaysia dan juga Brunei Darussalam terutamanya dalam perdagangan darat dan perhubungan udara.

Jelasnya menerusi kerjasama yang betul harga barang di tiga negara itu dapat dikurangkan dengan pembinaan laluan darat yang baik dan pastinya memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya industri.

Ini kerana nilai import barangan dari Indonesia ke Sarawak melalui Jakarta dan Pelabuhan Kelang mencecah sehingga AS$600 juta tahun lalu.

Beliau ditemui pada Hari Ulang Tahun Republik Indonesia ke-79 di Pejabat Konsulat Jenderal Republik Indonesia, Jalan Central Timur di Kuching.

Tambahnya lagi pihaknya turut merancang untuk membuka Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, CIQ bersebelahan Kapit di Sarawak yang merupakan laluan darat paling dekat dengan Ibu Negara Baharu Indonesia.

Katanya Nusantara akan beroperasi secara rasmi pada 17 Ogos ini sempena ulang tahun kemerdekaan Indonesia dengan empat daripada 37 Kementerian telah berpindah bersama sehingga 100,000 penjawat awam sehingga 2029.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE