ALOR GAJAH, 5 Mei- Muhammad Aidil Nursulhi, 19 tahun selamat tiba di Madinah pada 2 Mei lalu selepas mengambil masa kira-kira 45 hari menunggang motosikal ke tanah suci sempena Jelajah Silaturahim Malaysia ke Mekah 2024 yang berlepas pada 19 Mac lalu.
Bapanya yang juga Penyelaras Projek Jelajah Silaturahim Malaysia ke Mekah 2024 Nursulhi Rahim ketika ditemui RTM berkata, sepanjang perjalanan berkenaan anaknya mengalami kemalangan kecil ketika di China dan India.
"Syukur alhamdulillah dia (Muhammad Aidil) kelmarin dapat masuk Madinah. Saya seronok tiba-tiba saya cakap, Aidil abah rasa beli tiket balik sebab sempadan sudah tutup semalam (4 Mei).
"Dalam berita semua sudah maklumkan. Jadi saya tengok sekatan jalan raya sudah ada di sana. Tidak tahu macam mana, kuasa Allah malam tadi Aidil dapat tiket kereta api terakhir pukul 10 malam waktu Mekah. Syukur, Alhamdulillah dia dapat masuk semalam," katanya kepada pemberita di sini.
Sebelum ini anak sulung daripada lima beradik itu pernah mengikuti bapanya mengembara mengelilingi dunia menaiki kereta.
Muhammad Aidil merupakan salah seorang daripada 20 peserta jelajah berkenaan yang mempromosi Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 di negara yang mereka lewati dalam usaha menggamit kedatangan lebih ramai pelancong ke negeri berkenaan pada tahun ini.
Pelepasan pada 19 Mac lepas disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Seri Negeri, Ayer Keroh.
Jelajah tersebut menggunakan sebuah motosikal pertama buatan Malaysia iaitu Modenas Kriss 110 selain sebuah kereta Proton Wira Aeroback.