fb fb fb fb fb

Mufti Sarawak terima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2024

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim (dua,kiri) berkenan menyampaikan Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan kepada Mufti Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Kipli Yassin (dua,kanan) pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini/Foto Bernama

PUTRAJAYA, 16 September – Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin hari ini dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2024 atas sumbangannya dalam dakwah silang budaya yang menekankan toleransi dan persaudaraan pelbagai etnik di Sarawak.

Beliau menjadikan kepimpinan Nabi Muhammad SAW sebagai teladan dalam penyampaian dakwah, khususnya dalam menjaga keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Anak kelahiran Selalang Sarikei itu menjadikan kepimpinan Nabi Muhammad SAW sebagai teladan dalam menyampaikan dakwah.

Datu Kipli dalam ucapannya menekankan pentingnya prinsip tabligh yang diamalkan Rasulullah dalam penyampaian fatwa agar masyarakat Islam dan bukan Islam memahami keputusan yang diambil.

"Apabila kita mengambil sifat tabligh Rasulullah dalam menyampaikan sistem fatwa, ia bertujuan agar masyarakat memahami dan menerima keputusan-keputusan fatwa sebagai sesuatu yang perlu dipatuhi oleh umat Islam.

"Pada masa yang sama, keputusan-keputusan ini juga membantu orang bukan Islam memahami apa yang diputuskan untuk orang Islam.

"Akhirnya, mereka dapat menerima bahawa inilah kehidupan beragama yang mempunyai sempadan masing-masing," katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW 1446H/2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan menyampaikan anugerah itu.

Beliau yang juga Ahli Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, menerima wang tunai berjumlah RM50,000, trofi, medal, dan sijil penghargaan.

Enam lagi penerima Anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun ini, masing-masing menerima wang tunai RM30,000, medal serta sijil penghargaan.

Mereka ialah Yang Dipertua Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia, Datin Aminah Zakaria; Ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Ab Jamal Sakaran dan Pakar Bidang Institut Genome dan Vaksin Malaysia, Datin Prof Dr Khatijah Mohamad Yusoff.

Penerima lain, bekas Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Emeritus Dr Shaharir Mohamad Zain; Presiden Malaysian Deaf Advocacy dan Wealthy (DAWN), Sariah Ibrahim dan ahli perniagaan, Michael Tong Wai Siong.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN