fb fb fb fb fb

Mufti Kedah sokong RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 tanpa pindaan

Mufti Negeri Kedah, Datuk Paduka Syeikh Fadzil Awang

ALOR SETAR, 8 Julai- Mufti Negeri Kedah, Datuk Paduka Syeikh Fadzil Awang menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 sebagai punca kuasa kepada Pejabat Mufti Wilayah-Wilayah untuk penambahbaikan keberkesanan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan selaras dengan peruntukan undang-undang.

Beliau berkata, peruntukan RUU yang mantap dan menyeluruh merangkumi bidang kuasa Pejabat Mufti Wilayah-Wilayah iaitu fatwa, falak dan tauliah mengajar Agama Islam.

Beliau turut menyokong syarat pelantikan Mufti dan Timbalan Mufti hendaklah dalam kalangan individu yang berpegang kepada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah daripada aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyyah.

“Selain itu, aspek Syariat mengikut Mazhab Syafie iaitu boleh berpegang kepada Mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali atau ijtihad hukum yang memberi maslahah kepada masyarakat Islam; dan dari aspek Tasawuf berdasarkan pegangan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali", katanya dalam kenyataan.

Katanya, kepentingan undang-undang ini merujuk kepada pandangan Imam al-Ghazali yang bermaksud tidak akan lurus untuk urusan agama melainkan lurusnya peraturan atau sistem dunia.

Datuk Paduka Syeikh Fadzil berharap, RUU ini dapat menjadi platform terbaik dalam usaha memantapkan pengurusan pentadbiran Pejabat Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan.

ROSLINA BINTI DIN