PUTRAJAYA, 5 Jun - Kerajaan akan memanjangkan pandangan tegas mengenai dasar negara kepada penyedia platform laman sosial X yang didakwa telah mengubah terma perkhidmatannya secara rasmi dengan membenarkan pengguna memuat naik kandungan lucah.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, berkata perkara itu sememangnya melanggar undang-undang Malaysia dan tidak dibenarkan.
"Insya-Allah, kita akan panjangkan pandangan tegas kerajaan, dasar negara kita kepada pihak X.
"Saya percaya (Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Datuk Mohd Ali (Hanafiah Mohd Yunus) akan sampaikan untuk pastikan semua platform, bukan hanya X, faham bahawa beberapa perkara termasuk judi dalam talian, bahan lucah dan juga perkara yang tidak dibenarkan berdasarkan undang-undang negara kita dipatuhi platform-platform ini termasuk yang sedang berlaku di X," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan aplikasi X secara rasmi membenarkan penggunanya memuat naik kandungan dewasa.
Kemas kini dasar baharu itu bukan sahaja membenarkan pengguna memuat naik kandungan lucah malah mereka juga boleh mengedar dan menggunakan bahan berunsur seksual selagi ia mendapat persetujuan pihak terlibat.
Menurut dasar itu, pendedahan kepada bahan grafik lucah akan dihadkan kepada kanak-kanak dan pengguna dewasa yang memilih untuk tidak melihatnya.
Sementara itu, mengulas dakwaan seorang individu bahawa Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching telah mengarahkan MCMC untuk menyekat kandungan yang dimuat naiknya di platform Facebook, Fahmi berkata perkara itu tidak benar.
"Timbalan Menteri tidak keluarkan apa-apa arahan, beliau jadi mangsa fitnah," katanya.
Fahmi berkata tindakan menurunkan mana-mana kandungan yang dimuat naik adalah terpulang kepada penyedia platform itu sendiri dan bukan atas arahan kerajaan.
"Timbalan Menteri dan saya banyak kali kami bincangkan atau jawab di Parlimen… bukan semua permintaan pihak MCMC dituruti atau dipenuhi oleh platform-platform ini, peratusan konten yang diturunkan berbanding apa yang dipohon mungkin sekitar 50 peratus, tidak ada yang 100 peratus diturunkan.
"Ini bermaksud memang di pihak platform ada prosesnya tersendiri, mereka tidak mengikut arahan MCMC tapi MCMC merupakan badan kawal selia... mereka berikan kerjasama untuk meneliti sebarang aduan yang disampaikan," katanya.
Fahmi berkata secara umum, lebih 70 peratus daripada kebanyakan konten yang diturunkan adalah bersifat penipuan atau judi dalam talian.
Beliau juga berkata mana-mana pihak termasuk orang awam boleh membuat aduan kepada MCMC berhubung sesuatu kandungan yang dimuat naik di media sosial sekiranya perlu.
"Aduan itu boleh dibuat oleh mana-mana orang awam bukan hanya menteri dan sebagainya.
"Sebarang tindakan untuk menurunkan akhirnya jatuh kepada platform tersebut. Sekiranya platform itu dapati ada pelanggaran maka boleh diambil tindakan untuk menurunkan (sesuatu kandungan)," katanya. - BERNAMA