fb fb fb fb fb

MTL : Pelan tindakan komprehensif perkukuh kesiapsiagaan

Fasiliti kesihatan pada tahap kesiapsiagaan optimum / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 23 November - Pelan Tindakan Komprehensif dilaksana Kementerian Kesihatan, (KKM) bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan awam sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).

Menerusi kenyataan, dimaklumkan pelan tindakan digerakkan melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) merangkumi jaminan kesinambungan perkhidmatan, penggerakan pasukan perubatan kecemasan (EMT), kawalan kesihatan awam dan pemantauan di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Fasiliti kesihatan primer dan hospital berada pada tahap kesiapsiagaan optimum dengan tenaga kerja, peralatan dan logistik yang mencukupi, serta fasiliti alternatif telah dikenal pasti bagi memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas, sekiranya fasiliti utama mengalami gangguan banjir.

"Selain itu, JKN telah mengemas kini aset, peralatan, kenderaan, dan logistik yang sedia digerakkan pada bila-bila masa serta stok ubat-ubatan di fasiliti kesihatan mencukupi,"menurut kenyataan.

Semua PPS yang dikenal pasti juga diperiksa lebih awal bagi menjamin aspek keselamatan, kebersihan serta kesesuaian lokasi sebelum diaktifkan.

Dalam masa sama, KKM meneruskan kerjasama rapat dengan agensi kerajaan lain bagi menyelaras bantuan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti.

FAUZIAH ABD RAHMAN